|  Home  |  Info Artis  |  Pautan Laman Artis  |  Galeri  |  Forum Artis  |

Takut mengandung lagi

Ziana
Ziana dan anak kembarnya

Penyanyi Ziana Zain (Siti Roziana Zain), 42, dalam akhbar kata dia sudah takut melahirkan anak selepas pengalaman melahirkan anak kembar pada 23 Julai tahun lepas. Dia memutuskan untuk tidak lagi menimang cahaya mata. Tambahan pula usianya yang semakin meningkat di samping atas nasihat doktor. Ziana kata dia amat bersyukur dengan empat cahaya mata yang dah ada sekarang ini.

"Saya harus akui pengalaman sewaktu melahirkan anak kembar saya benar-benar membuat saya takut untuk mengandung lagi kerana ia hampir meragut nyawa saya," kata Ziana pada majlis memperkenalkan cahaya mata kembarnya baru-baru ini.

Anak kembar Ziana ialah Muhammad Ariel dan Siti Nour Kaseh yang kini berusia lapan bulan. Sebelum ini, menerusi perkahwinan bersama suaminya, Armin Zaharin, 46, Ziana dapat dua orang anak lelaki iaitu Muhammad Aiman, 10, dan Muhammad Ammar, 7.

Kerana komplikasi yang dilalui semasa proses kehamilan anak kembarnya yang tidak cukup bulan itu juga, Ziana memutuskan untuk tidak mendedahkan anaknya untuk tatapan umum.

"Saya mengambil masa yang lama untuk menstabilkan diri sebelum benar-benar bersedia muncul di khalayak bersama anak kembar saya. Lagipun, dengan empat orang anak yang ada sekarang sudah memadai dan menggembirakan hati saya dan suami. Apa yang penting, impian saya untuk memiliki seorang anak perempuan sudah tercapai. Saya tidak berniat untuk menyorokkan anak-anak saya tetapi kerana ketika itu memang tidak sesuai."

Ziana
Anak ketiga dan keempat Ziana dan Armin

Ziana Zain menyifatkan kejadian yang berlaku ke atas dirinya adalah begitu tragis. Ziana berkali-kali bersyukur kerana dia masih dipanjangkan umur dan dapat membesarkan anak-anaknya itu.

"Saya bersyukur sangat... Allah telah panjangkan umur saya. Sepanjang proses bersalin, saya masih sedar. Tapi selepas sahaja kedua-dua bayi saya keluar, saya sudah tidak tahu apa yang terjadi. Saya telah dimasukkan ke unit rawatan rapi selama lima hari. Sepanjang berada di wad itu, saya telah dimasukkan 10 paket darah. Menurut doktor, saya telah mengalami tumpah darah yang begitu banyak hingga berada di dalam keadaan kritikal dan mempunyai peluang tipis untuk hidup," cerita Ziana pada wartawan masa dia di majlis memperkenalkan Duta SlimWorld 2010.

Ziana turut berkata ia adalah sesuatu yang tidak pernah dijangkanya kerana pengalaman melahirkan dua orang anaknya sebelum ini adalah lebih senang. Pengalaman melahirkan anak kembar bagi Ziana sangat jauh berbeza jika dibandingkan dengan melahirkan dua anaknya yang lain.

"Masa itu, saya hanya fikir bagaimana keadaan anak dan saya menangis dalam hati mengenangkan nasib anak kembar saya. Mungkin semangat yang ada dalam diri saya itu membolehkan saya bangun dan menikmati kehidupan sehingga ke hari ini," kata Ziana Zain sambil mengesat air mata.

Ziana turut memberitahu semasa berdepan dengan kejadian hitam dalam hidupnya itu, dia seperti dapat merasai saat kematiannya begitu hampir. "Saya rasa seperti sudah hampir dengan ajal, tapi Allah itu maha kuasa memberikan peluang kedua kepada saya untuk kembali hidup bersama keluarga, kawan-kawan dan sanak saudara."

Jelas Ziana, dia sudahpun memenuhi permintaan suaminya yang hanya mahukan empat orang anak.

www.artismelayu.net