|  Home  |  Info Artis  |  Pautan Laman Artis  |  Galeri  |  Forum Artis  |

'Artis kita rendah moral...'

Wardina Safiyyah
Wardina, suami dan anak-anak (Foto Utusan)

Jom beri komen anda di Forum Wardina yang best!

Dalam akhbar baru-baru ini Wardina Safiyyah Fadhullah Wilmot berkata ada golongan artis yang tidak layak untuk dijadikan ikon. Kata Wardina, artis sekarang menampakkan kerendahan moral mereka secara terangan-terangan di khalayak ramai. Ini dapat dilihat sama ada menerusi percakapan, pakaian, perbuatan dan tingkah laku. Wardina berpendapat, semua ini berlaku kerana tiada keseimbangan antara kecerdasan emosi (EQ) dan kecerdasan mental (IQ) dalam urusan harian. Menurut Wardina, selebriti kita lebih seronok bercerita tentang 'keindahan' badan, kemewahan sendiri dan kehidupan bebas mereka kepada orang awam, tanpa segan silu. Itu tidak termasuk kisah ketaksuban mereka yang mengagung-agungkan apa sahaja datang dari Hollywood dan Bollywood. Sedangkan pada realiti sebenar, dunia hiburan tanah air sememangnya berbeza dengan apa yang dilalui mereka.

"Sebagai ibu bapa, adakah kita akan berdiam diri membenarkan anak kita terus mencontohi 'bulat-bulat' apa yang dilakukan artis kita? Adakah mereka sudah cukup baik untuk dijadikan ikutan? Terus terang, saya tidak rela untuk membenarkan anak saya menjadi salah seorang peminat mereka. Malu sungguh dengan 'perangai' sebegitu. Ia bukan nilai murni yang sepatutnya diwarisi kepada mereka."

Apa yang dinyatakan oleh Wardina itu semua tidaklah sukar untuk dilihat contohnya. Sekarang ini artis wanita tanpa segan silu berani berpakaian seksi, mendedahkan bahagian dada dan tidak kisah 'berkemban' di tempat awam. Sifat malu bagaikan sudah terkubur dan apa yang ditonjolkan adalah rasa ketakjuban ke arah kemewahan duniawi semata-mata. Perlakuan tersebut kemudiannya menjadi hidangan kepada umum tanpa tapisan dan apa yang dilalui artis masa kini ternyata bertentangan dengan budaya masyarakat Melayu dan ajaran Islam.

"Ini adalah pandangan peribadi saya. Ia dibuat atas dasar jujur, ikhlas dan menerusi pengalaman yang pernah dilalui. Tiada niat untuk mendabik dada atau mengaibkan. Saya sendiri tidak layak untuk menjadi ikon. Sebabnya, saya terasa banyak kekurangan. Terus terang, saya memang kecewa dengan keadaan industri hiburan tanah air masa kini."

Wardina akan terlibat dalam seminar mengenai 'Selebriti Sebagai Ikon Masyarakat' di KB Mall, Kota Bharu, Kelantan bersama selebriti TV9, Fara Adeeba dan novelis Ayat-Ayat Cinta, Habiburrahman El-Shirazy.

Pandangan ikhlas Wardina ini sudah pastinya agak 'menyakitkan' hati teman-teman artis lain. Namun Wardina tidak kisah sekiranya pandangannya itu diperlekehkan oleh mana-mana pihak. Bagi Wardina, itu adalah kebenaran hakiki yang perlu diterima oleh semua. Walaupun agak pahit dan sukar diterima kerana melibatkan kelemahan rakan seperjuangan tetapi itu adalah kenyataan yang berasas.

Wardina enggan mengulas apabila ditanya siapakah artis Malaysia yang paling layak digelar ikon. Wardina mungkin rasa bimbang akan mengundang rasa kurang selesa sekiranya diutarakan.

Wardina tidak pula mengaku yang dia serba sempurna. Wardina mengakui dirinya tidak terlepas daripada melakukan kesilapan terutamanya pada awal pembabitan sebagai artis sehingga dia melalui proses perubahan dan mendirikan rumah tangga. Menurut Wardina pada waktu itu tiada siapa yang menegurnya. Sekiranya ada pihak yang menegur pastinya dia akan berubah lebih awal. Bagi Wardina, segala kesilapan lalu akan dijadikan panduan hidup, dan tidak perlu diungkitkan. Apa yang penting adalah kehidupan pada masa depan.

www.artismelayu.net