Akademi Fantasia 8  |  HOME  |  FORUM AF

Tirai Akademi Fantasia 8

UTUSAN MALAYSIA, 13 Mac: Walaupun ada yang berpendapat rancangan realiti nombor satu negara, Akademi Fantasia (AF) sudah semakin hilang pengaruhnya, ia masih lagi diminati oleh pengikut setianya. Ini dapat dibuktikan pada malam Sabtu lalu bertempat di Dewan Sri Putra, Bukit Jalil, Kuala Lumpur di mana berlangsungnya Tirai Akademi Fantasia 8 (AF8) bahawa rancangan realiti itu masih lagi diminati. Biarpun atmosfera terasa sedikit hambar, itu bukan satu halangan untuk peminat hadir memberikan sokongan kepada pelajar kegemaran mereka.

Apa yang boleh dikatakan tentang 12 pelajar musim ini ialah kesemuanya memiliki bakat yang tersendiri. Malah, daripada rancangan pengenalan itu juga dapat dilihat muzik dan hala tuju pelajar-pelajar tersebut dalam memilih muzik yang sesuai dengan mereka.

Namun, masih terlalu awal untuk memperkatakan tentang keupayaan kerana Tirai AF8 baru dibuka dan para peserta masih lagi mentah dan belum mendapat pendidikan formal daripada barisan tenaga pengajar.

Walaupun masih baru dalam akademi, tetapi ada antara pelajar itu sudah menunjukkan potensi untuk terus bertahan dalam akademi berdasarkan mutu vokal mereka.

Tetapi, nama pun rancangan realiti. Kalau ada bakat yang bagus sekali pun tetapi memiliki personaliti dan kelakuan yang kurang menyenangkan para pengundi seperti mana yang ditonjolkan dalam Diari AF, memang sukar sekali untuk mara ke peringkat yang lebih tinggi.

Sebelum itu, AF8 tampil dengan kejutan pertama untuk musim ini apabila memperkenalkan pengacara nombor satu negara, Aznil Nawawi sebagai pengkritik tetap. Pengumuman itu sekali gus mengesahkan khabar angin yang bertiup kencang sebelum ini tentang kehadiran Aznil untuk AF8. Aznil tidak keseorangan menjalankan tugasnya sebagai pengkritik sebaliknya ditemani oleh rakan sepasukannya, Adlin Aman Ramlie yang turut memikul tanggungjawab yang sama. Cuma, akan ada pengkritik undangan setiap minggu dan Tirai AF8 menyaksikan kehadiran penyanyi soprano, Ning Baizura bagi melengkapkan trio pengkritik untuk malam itu.

Ahmad Shahir Zawawi atau Shahir dari Ipoh menyanyikan lagu Andalusia nyanyian asal M. Nasir. Corak persembahan dan vokal Shahir secara jelas cuba meniru M. Nasir dan tidak memiliki keaslian.

Siti Adira Suhaimi (Adira) begitu berani membawa lagu 'Gagap' yang bukan calang-calang penyanyi boleh membawakan lagu tersebut. Ning Baizura memberi komen yang mengatakan persembahan Adira masih lagi dibayangi oleh penyanyi asalnya, Stacy. "Pemilihan lagu ini amat berbahaya sekali kerana saya masih lagi membayangkan Stacy dan bukannya Adira. Seharusnya anda memilih lagu yang sesuai agar peminat dan penonton tidak dapat membandingkan anda dengan penyanyi asal," kata Ning yang menyifatkan pemilihan itu boleh dimaafkan memandangkan masih lagi di peringkat awal.

Muhammad Alif Kadim atau Alif juga berdepan dengan masalah yang sama apabila memilih lagu 'Live Like We're Dying' oleh juara American Idol musim kelapan, Kris Allen. Dia memiliki vokal yang besar dan seharusnya dia tahu jenis lagu yang sesuai dengan dirinya memandangkan dia merupakan pelajar jurusan Diploma Muzik dan Vokal dari Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara). Tetapi Aznil menyifatkan Alif sebagai seorang yang cukup berani apatah lagi dengan usianya yang baru 19 tahun untuk memilih lagu tersebut. "Awak memang berani dan yakin pada diri awak apabila menggunakan pentas dengan sepenuhnya bagi mewarnakan lagi persembahan awak," puji Aznil.

Dayang Nor Anum Arjuna Aharahun atau Anum telah mengejutkan penonton apabila tampil dengan persembahan yang sungguh 'menggerunkan'. Sebaik sahaja muncul di atas pentas, Anum sudah melakukan gimik apabila menyanyi sambil berbaring saat melantunkan lagu Pelesit Kota yang pernah dipopularkan oleh kumpulan Search. Rasanya belum pernah lagi mana-mana pelajar AF selama tujuh musim lalu melakukan aksi sedemikian dan keberanian Anum itu wajar dipuji. Persembahannya berjaya membuka mata penonton dan menjadikan persembahannya sebagai yang paling diingati setakat ini. malangnya momentum serta kesan lagu tersebut langsung tidak dirasai audiens apabila disampaikan oleh Anum meskipun dia mempunyai suara serak-serak basah yang boleh digilap lagi.

Nadiawaty Ainul Basir atau Ain memberikan persembahan yang paling impresif antara 12 orang pelajar pada malam itu. Mungkin terlalu awal untuk memuji Ain tetapi persembahannya menerusi lagu 'The Climb oleh Miley Cyrus' cukup menyakinkan dan membuktikan bahawa dia antara yang menyerlah untuk musim ini. Ain memiliki pakej lengkap - bakat dan paras rupa yang boleh 'dijual' dan menarik perhatian pengundi untuk mengundinya terus kekal di dalam akademi. Dia juga memiliki pesona, karisma dan aura serta bijak membawa dirinya di atas pentas. Mungkin kerana mempunyai pendidikan di dalam bidang kecantikan memberi kelebihan itu buat Ain.

Hos rancangan

gandingan pertama Sarimah Ibrahim dan Jimmy Shanley sebagai pengacara konsert musim ini memang ada keserasian. Sarimah dengan gayanya yang tersendiri manakala Jimmy sepatutnya lebih relaks kerana terpancar jelas wajahnya yang kelihatan gementar. Malah, gerak-geri Jimmy juga kelihatan terkawal dan dia menjadi Jimmy Shanley yang berbeza dengan apa yang kita saksikan sebelum ini.

Komen Pengetua Norman

Norman Abdul Halim sejurus selepas persembahan tamat, dia ternyata berpuas hati dengan prestasi 12 orang pelajarnya biarpun baru kali pertama beraksi di depan kamera. "Ini permulaan yang baik buat mereka dan untuk Tirai AF8, saya melihat 10 daripada 12 pelajar ini telah memberikan persembahan yang baik. "Saya dapat melihat musim ini akan menyaksikan pertarungan sengit antara mereka dan percaya pecahan undian akan berlaku. "Saya dan tenaga pengajar akan sama-sama berganding bahu untuk memberi pendidikan yang berterusan kepada mereka agar dapat memberikan persembahan terbaik setiap minggu," ujar Norman yang berikrar akan membentuk identiti muzik para pelajarnya kelak.