|  Home  |  Info Artis  |  Pautan Laman Artis  |  Galeri  |  Forum Artis

- Profile Shidee 
- Komen tentang Shidee di sini 

Shidee 'sayang semuanya..'

Shidee

Pada 1 Februari lepas, penyanyi popular era 80-an, Shidee, 50 tahun, dan Siti Fairunnisa Aziz, 22 tahun, berkahwin. Masuk surat khabar. Oklah tu. Tahniah untuk mereka berdua. Walaupun beza umur sangat ketara. Shidee 50 tahun manakala isterinya, 22 tahun. Ayah Siti Fairunnisa sudah meninggal dunia empat tahun lepas. Siti Fairunnisa berkahwin dengan berwalikan bapa saudaranya.

Mak mentua buat 3 laporan polis

Tapi sejurus selepas itu terbongkar pula kisah rupa-rupanya perkahwinan tersebut tidak direstui oleh mak mentua baru Shidee, Jamaliah Hassan namanya. Malah Jamaliah telah membuat tiga laporan polis sebelum perkahwinan tersebut dijalankan. Jamaliah Hassan membuat laporan yang pertama pada 26 Januari lalu di Balai Polis Salak Selatan dan dua jam selepas itu, dia membuat laporan di Balai Polis Sungai Besi berhubung isu anaknya keluar daripada rumah tanpa keizinannya. Kemudian pada 30 Januari, Jamaliah membuat laporan yang ketiga di Balai Polis Bukit Sentosa, Bukit Beruntung kerana tidak mahu anak bongsunya berkahwin dengan Shidee. Jamaliah mahu anaknya pulang ke pangkuannya.

“Pada 26 Januari lalu, anak saya keluar dari rumah dan membawa kunci rumah kedua saya di Bukit Beruntung. Pada mulanya saya sangka dia tinggal di sana tetapi empat hari selepas itu baru saya mendapat berita daripada abang ipar saya, Razali Awang, yang anak saya mahu berkahwin dengan Shidee. Dia dan Shidee meminta Razali menjadi wali. Pada mulanya Razali enggan tetapi akhirnya terpaksa bersetuju kerana mereka mengugut mahu wali hakim,” kata Jamaliah seperti yang dilaporkan dalam akhbar tempatan.

Shidee pun buat laporan polis juga

Shidee pula mengesahkan tentang laporan polis yang dibuat oleh ibu mentuanya. Namun begitu dia berkata tiada bukti yang mengesahkan dia membawa lari dan memaksa Fairunnisa berkahwin dengannya.

“Memang polis ada datang ke rumah saya. Tetapi tiada bukti yang mengatakan saya membawa lari anaknya. Nisa sendiri mengakui kepada polis yang dia mencari saya. Mendengar penjelasan itu, polis pun terkejut dan terus pulang."

Menurut Shidee, pada 30 Januari lalu, dia dan isteri telah membuat laporan polis di Balai Polis Bukit Sentosa kerana mendakwa ibu mertuanya mengugut untuk memukulnya dan isterinya sekiranya isterinya tidak pulang ke rumah emaknya.

Shidee kata mak mentua dia sebelum ini mencintainya

Shidee beranggapan insiden laporan polis itu dibuat disebabkan Jamaliah cemburukan hubungannya dengan Fairunnisa. Kata Shidee demi Allah dia tidak mencintai Jamaliah. Tapi sebenarnya Jamaliah mencintainya. Bukan sahaja mak mentua dia tu mencintai dia, malah tetapi adik mak mentua dia tu juga mempunyai perasaan yang sama terhadapnya. Tapi kata Shidee, mereka berdua (mak mentuanya dan adiknya) tidak boleh menerima hakikat yang dia memilih Fairunnisa.

Shidee penipu, penganggur, dan kaki judi, kata mak mentua

Jamaliah, 45, yang kini seorang balu menafikan yang dia pernah mencintai Shidee. Sebaliknya dia mendakwa penyanyi lagu 'Sayang Semuanya Sudah Terlambat' itu seorang penipu, penganggur dan kaki judi.

“Saya tidak cemburu dan langsung tidak kecewa kerana dia mencintai anak saya tetapi saya cuma berharap anak saya mendapat suami yang terbaik. Shidee bukan sahaja penipu, kaki judi, dan penganggur tetapi dia juga berhutang RM5,000 dengan saya. Dia sudah banyak menghabiskan harta saya kerana dia tidak bekerja. Adik saya juga membenci dia, jadi mana datang cerita kami mencintai dia?,” jelasnya dalam nada marah.

Jamaliah menafikan kenyataan Shidee dan anaknya bahawa mereka akan melangsungkan resepsi perkahwinan di rumahnya di Cheras pada bulan Mac. Sebenarnya, menurut Jamaliah, tidak akan ada apa-apa kenduri sebab dia tidak merestui perkahwinan Shidee dan anaknya. Sudahlah anaknya kahwin percuma.

Jamaliah pernah melabur untuk album Shidee

Jamaliah pernah menaja pembikinan lagu-lagu Shidee termasuk lagu 'Jamilah' yang dihasilkan mengambil sempena namanya pada tahun 2008. Masuk sini untuk lihat kulit album tersebut. Perkenalan Jamaliah dan Shidee terdetik sejak wanita itu menyertai salah sebuah kelab stesen radio kira-kira empat tahun lalu. Sejak dari perkenalan itu, mereka berkawan dan Shidee diajak tinggal bersama dengannya. Pada mulanya Jamaliah akui dia pernah menaruh perasaan terhadap Shidee sehingga sanggup melaburkan wang ringgit untuk membiayai kos pembikinan album Shidee yang turut memuatkan lagu 'Jamilah'. Selepas itu, dia juga mengajak Shidee membuat bisnes secara online bersama tetapi akhirnya duit itu disalahgunakan oleh Shidee. Namun begitu, Jamaliah masih berharap agar Shidee yang sekarang ini menganggur, mencari kerja untuk menyara anaknya dan mendoakan kebahagiaan mereka berdua pada masa akan datang.

Shidee
Dapat isteri muda, Shidee terus hina janda.
Foto mstar.com.my

Shidee hina janda

Dalam rancangan Melodi TV3 baru-baru ini, Shidee ada mengeluarkan kenyataan bahawa peminatnya dan keluarga akan marah jika dia berkahwin dengan janda anak dua. Shidee mengeluarkan kenyataan tersebut sebagai jawapan kenapa dia mengahwini Siti Fairunnisa Aziz (si anak) dan bukan Jamaliah (si ibu, janda anak dua). Menurut Shidee, kenyataannya itu ditujukan kepada ibu mentuanya sahaja dan bukan bertujuan untuk menghina kaum janda yang lain. Kata Shidee lagi, dia seorang bujang dan inginkan zuriat dan jika berkahwin dengan Jamaliah kemungkinan besar peluang untuk mendapatkan cahaya mata adalah sukar. Shidee juga tidak mahu perkara itu disalahtafsir oleh masyarakat dan menjadi kontroversi.

Jamaliah menipu, kata Shidee

Shidee menafikan dakwaan Jamaliah Hassan bahawa dia seorang yang tidak bekerja, tiada rumah dan bergantung nasib kepada Jamaliah selama ini. Shidee kesal dengan dakwaan Jamaliah. Dia mendakwa mempunyai sebuah rumah yang dibeli secara tunai di Bukit Beruntung bernilai RM60,000. Bagi Shidee walaupun kecil tapi dia ada rumah untuk berteduh bukan seperti yang didakwa oleh Jamaliah. Tuduhan-tuduhan lain yang mengatakan bahawa dia tidak berkerja dan kaki judi serta berhutang itu adalah fitnah semata-mata namun Shidee serahkan kepada Allah yang lebih mengetahui perkara itu. Shidee kini tinggal di sebuah banglo milik abang angkatnya.

Shidee
Shidee dan isteri, pada hari perkahwinan. Foto mstar.com.my

Jamaliah anggap kisah cinta dia dengan Shidee sebagai kisah lama

Beberapa hari selepas membuat laporan polis, kenyataan Jamaliah di dalam akbar mula lembut dan berbeza, tidak keras seperti sebelumnya. Jamaliah berkata dia redha dan sedia menerima Shidee dan anaknya. Dia kata dia bukan ibu zalim, kalau mereka (Shidee dan anaknya) datang, dia akan terima mereka sebagai menantu dan anak. Tiada niat untuk dia buang anak. Jamaliah juga berkata, dia kini tidak mempunyai apa-apa perasaan terhadap Shidee dan menganggap kisah cinta mereka sebagai cerita lama. Maknanya di sini, mereka dulu memang pernah bercinta.

Jamaliah tersinggung dengan kenyataan anaknya

Siti Fairunnisa dalam akhbar telah merayu ibunya supaya menghentikan tohmahan, selain mendakwa ibunya itu ada menyimpan perasaan terhadap Shidee, suaminya. Akhbar Harian Metro pula melaporkan yang Jamaliah tersinggung dengan kata-kata anaknya yang baru berkahwin, Siti Fairunnisa. Kata Jamaliah, dia serah segala-galanya kepada Allah kerana hanya Allah yang maha mengetahui semua kebenaran. Kata Jamaliah, walaupun tidak tertekan dengan kontroversi hubungannya dengan menantu, dia terkilan dengan kata-kata Fairunnisa mendakwa Shidee menyara keluarganya selepas ibunya bergelar ibu tunggal berikutan kematian suami. “Dulu saya mendidiknya (Fairunnisa) menjadi seorang yang bersopan santun, tetapi sekarang sebaliknya berlaku apabila saya dituduh bergantung sumber kewangan kepada penyanyi itu. Bagi orang yang mengenali saya, mereka tahu apa sebenarnya berlaku. Cuma saya berpesan supaya mereka pandai hidup berdikari kerana sudah berkeluarga dan jangan mengharapkan bantuan orang lain.” Kesian Jamaliah, sudahlah janda, kehilangan suami, kini kehilangan bekas kekasih dan anak sendiri pula mula kurang ajar. Harap-harapnya janganlah Jamaliah sumpah anaknya itu jadi batu, atau jadi peti ais.

Jamaliah berkata, tindakan anaknya memohon restu menerusi akhbar tidak kena pada tempat kerana ada cara lebih baik. Jamaliah pelik kerana anak dia berkata Shidee memberi wang RM800 setiap bulan bagi membayar ansuran kereta dan rumah Jamaliah di Bukit Beruntung sejak beberapa tahun lalu. Jamaliah rasa kalau dia ada duit, lebih baik dia membeli kereta dan rumah sendiri daripada tolong membayar hutang orang lain. Bagaimanapun, Jamaliah berkata, dia belum bersedia bertemu pasangan suami isteri itu dan tidak mahu memikirkan mengenai masalah yang timbul. Dia tetap bersyukur kepada Allah kerana walaupun dalam keadaan sebegini, dia masih berasa tenang. Mengenai ajakan Shidee ke majlis persandingan di Bagan Datoh, Perak, April depan, Jamaliah tidak terlintas hendak pergi.

Komen abang angkat Shidee

Sementara itu, di Bukit Beruntung, Rawang, abang angkat Shidee, Shaharuddin Shaari, 52, meminta isu membabitkan Shidee dengan ibu mentuanya tidak berpanjangan. “Saya cukup mengenali dan sentiasa mengambil berat hal Shidee kerana dia macam adik sendiri. Saya mengenalinya lebih 25 tahun, malah keluarga penyanyi itu juga sentiasa meminta saya mengambil berat hal Shidee setiap masa. Berilah peluang dia bernikah dengan anak gadis muda agar berpeluang menimang cahaya mata seperti orang lain. Dakwaan tajam dilemparkan mentuanya sama sekali tidak benar, malah saya terkilan dengan tuduhan membuta tuli itu,” katanya. Menurutnya, Shidee yang menanggung kos sara hidup keluarga Jamaliah selepas kematian suami kerana bersimpati dengan mereka yang hidup serba kekurangan.

Begitulah sandiwara mereka di dada akhbar. Kita tidak tahu siapa yang berkata benar.

www.artismelayu.net