Sheila Rusly gagal selesai kes luar mahkamah

Sheila Rusly
Penerbit drama, pelakon dan pengacara Sheila Rusly, 39, gagal untuk kali kedua dalam percubaannya untuk menyelesaikan kes samannya di luar mahkamah. Sheila menyaman bekas rakan kongsi perniagaan restorannya, Datuk Azlina Che Abdullah, 44. Dah lama dah kes ni. Perbicaraan kes ini akan disambung 14 Julai nanti.
Pada 24 Jun 2006, Sheila Rusly dan bekas rakan perniagaannya itu diperintahkan oleh Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi supaya menyelesaikan kes mereka di luar mahkamah tetapi mereka gagal berbuat demikian.
Sebelum itu pada 21 Jan 2006, Sheila menyaman Azlina kerana melanggar perjanjian perkongsian lisan yang dibuat oleh Azlina berhubung Restoran Nasi Dagang House, yang menyajikan masakan dari Pantai Timur. Kalau tak salahnya restoran ni terletak di Taman Melati.
Dalam pernyataan tuntutan itu, Sheila mendakwa pada sekitar bulan April 2005, beliau dan Azlina telah berbincang serta bersetuju untuk membuka sebuah perniagaan restoran dan restoran itu mula beroperasi pada 11 Julai 2005.
Mengikut perjanjian perkongsian lisan, Sheila mendakwa beliau dikehendaki mempromosikan perniagaan restoran itu melalui rancangan televisyen dan kalangan kenalan artis serta orang ramai, manakala Azlina bertanggungjawab sepenuhnya terhadap penyediaan resepi dan masakan utama restoran itu. Pada 30 Sept 2005, Sheila, yang pergi ke restoran itu mendapati restoran berkenaan telah ditutup dan pada 2 Okt 2005, beliau mendapati sebuah restoran lain yang diberi nama restoran Nasi Dagang Ulik Mayang dibuka di premis bersebelahan dengan restorannya.
Dalam saman itu, Sheila menuntut semula modal sebanyak RM55,000 yang dimasukkannya ke dalam perniagaan perkongsian itu, keuntungan perniagaan itu dari tempoh 1 Sept hingga 30 Sept 2005, kehilangan keuntungan masa depan, ganti rugi am akibat pelanggaran kewajipan, ganti rugi teladan, ganti rugi teruk dan kos lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.
Azlina dalam pernyataan pembelaannya mendakwa kegagalan restoran itu antara lain disebabkan kegagalan Sheila menjalankan tanggungjawabnya sebagai rakan kongsi dan kegagalan Sheila untuk meneruskan operasi restoran itu semasa gilirannya.
|