Jom beri komen anda tentang Salsabila di sini...
Salsabila diselamatkan dari Lombok

Si bapa menangis gembira, Salsabila menangis kecewa. Foto Harian Metro.
Salsabila, atau Bella, artis 15 tahun yang lari meninggalkan mak bapak kerana mengikut lelaki Indon kekasihnya ke Lombok akhirnya selamat balik ke Malaysia. Dia kata dia gembira dapat balik semula ke Malaysia tapi dia sangat kecewa sebab laki dia tak dapat ikut balik sama.
Dia harap Pemuda UMNO (yang berjaya bawa dia balik ke Malaysia) dan kedutaan Malaysia di Jakarta dapat membantu suaminya datang ke Malaysia supaya dia dapat bersama-sama dengan suaminya itu.
"Saya mengandung lima bulan. Saya lebih gembira kalau suami saya ada bersama," kata Salsabila. "Siapa yang akan jaga saya dan anak saya nanti?" tanya Salsabila lagi semasa dia mendarat di LCCT.

Salsabila (tengah) bersama bapa (kiri) Foto The Star.
Menurut Salsabila lagi, dia tidak pun merancang untuk balik walaupun dia tahu bapanya sakit sebab dia gembira tinggal di Lombok. Bertuah punya anak. Manusia macam ini pun ada kat Malaysia.
Ayah Salsabila yang sakit, Yunan Mat Ayat, 77 tahun berterima kasih pada Pemuda UMNO yang berjaya membawa balik Salsabila ke Malaysia. Dia sudah memaafkan Salsabila dan berharap agar Salsabila tidak buat seperti itu lagi nanti. Dia kecewa sebab Salsabila tidak sempat ambil PMR.
Berita di akhbar tujuh bulan lalu menyatakan yang Salsabila dilarikan pemuda Lombok. Tapi rasanya Salsabila bukan dilarikan. Sebaliknya, mereka berdua melarikan diri. Ini kerana Salsabila memang sayang lelaki Lombok berkenaan. Di Lombok, mereka berkahwin dan Salsabila sedang mengandung sekarang ini.
Salsabila ialah anak bongsu dalam keluarga. Ibunya meninggal dunia sembilan tahun yang lalu. Dia pernah berlakon dalam drama 'Gerak Khas', 'Ke Syurga Cinta' dan 'Renjis'
Yunan bapa yang tabah, Salsabila anak tak guna
Yunan Mat Ayat, seorang pesara tentera yang menghidap kencing manis dan darah tinggi berkata dia hampir putus asa dan tidak menyangka dapat berjumpa semula dengan Salsabila. Dia ingat tak dapat jumpa dia lagi kerana kini usia dia sudah tua dan mungkin tak berapa lama lagi akan ‘habis’ (meninggal dunia).
Salsabila menghilangkan diri selepas keluar rumah dengan pakaian seragam sekolah. Pak cik Yunan menghabiskan masa tiga bulan mencari Salsabila di merata tempat termasuk ke Kelantan hingga ke Medan, Indonesia, namun buntu dan akhirnya terpaksa membuat laporan polis.
“Saya terlalu risau apabila Bella (Salsabila) menelefon memberitahu dia berada di Lombok kira-kira tiga bulan selepas kehilangannya. Ketika itu terlintas di fikiran saya mungkin tiada harapan untuk bertemu semula, lebih-lebih lagi selepas membaca banyak kes rakyat Malaysia yang berada di pulau itu sukar pulang semula ke tanah air,” kata Yunan.
Sedih sangat sebab suami tak dapat ikut sama
Harian Metro melaporkan, kepulangan Salsabila ke pangkuan keluarga di Malaysia adalah atas usaha Biro Aduan Komuniti Pemuda Umno diterajui ketuanya, Datuk Muhd Khairun Aseh dengan kerjasama Jabatan Imigresen Indonesia dan Polis Republik Indonesia di Mataram, Lombok.
Namun pada sidang akhbar selepas itu, Salsabila membuat pengumuman mengejutkan apabila menyatakan terlalu sedih kerana terpaksa berpisah dengan suaminya, Hafiz Sukma, 26.
Sepatutnya masuk penjara
Salsabila sebenarnya telah ditahan pihak berkuasa Indonesia kerana kesalahan memasuki negara itu secara haram. Jika didakwa dan sabit kesalahan, dia boleh dipenjarakan selama enam tahun dan didenda Rp30 juta (RM11,100). Semoga selepas ini Salsabila bertaubat dan menjadi anak yang baik dan menjaga hati bapanya.

Salsabila muncul di LCCT bersama-sama Pengerusi Biro Aduan Komuniti Pemuda UMNO, Datuk Muhammad Khairun Aseh. Foto Utusan Malaysia.

Menangis lagi. Foto Berita Harian.
Jom beri komen anda tentang Salsabila di sini...
Salsabila tak menyesal
JIKA tidak mengenangkan rayuan si bapa, Salsabila lebih suka tinggal di Lombok bersama suami dan mertuanya.
Masa dia lari ke Lombok mengikut lelaki Indon pilihan hatinya, umur dia baru 15 tahun. Di Indonesia dia berkahwin dengan lelaki tersebut, Hafiz Amaq Sukma, 29.
Selama tujuh bulan Salsabila dilarikan ke daerah Bara Bali, Mataram. Salsabila ialah pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Batu Muda, Batu Caves. Dia belum lagi habis PMR dan akalnya memang pendek. Sebab itulah dia sanggup mengetepikan kasih sayang bapanya, Yunan Mat Ayat, 77, demi mengejar cinta sejati.
Kerana pendek akal jugalah tidak sampai dua minggu perkenalan, dia sudah jatuh cinta pada lelaki Lombok.
Menurut Salsabila, Hafiz seorang yang penyayang dan bertanggungjawab. Bagaimana Salsabila boleh melupakan kasih sayang keluarganya selama ini adalah satu misteri.
Hanya dua bulan diperlukan oleh seorang mamat Lombok untuk menakluk hati rakyat Malaysia yang tak berpelajaran bernama Salsabila.
Rindu suami
Ketika ditemui sehari selepas kepulangannya ke tanah air Selasa lalu, Salsabila senang sangat mengalirkan air mata apabila menyebut tentang suami dan kandungannya yang telah mencecah usia enam bulan.
“Saya sangat merindui suami. Kalau diikutkan, saya lebih suka tinggal di sana. Walaupun suami hanya bertani tapi hati saya lapang. Saya sangat berharap keluarga dapat memaafkan perbuatan saya dan menerima suami saya sebagai ahli keluarga ini. Restuilah perkahwinan kami kerana kami saling mencintai. Saya tidak mahu anak dalam kandungan ini membesar tanpa bapa dan saya sangat berharap suami ada di sisi apabila sudah sampai tempoh bersalin Jun nanti,” luah Salsabila seperti orang yang tak berakal.
Salsabila ialah anak bongsu daripada lapan beradik. Dia tidak menganggap status isteri dan ibu itu sebagai beban. Sebaliknya, kehamilan tersebut telah banyak membantu mematang dirinya yang selama ini dimanjakan oleh bapanya, seorang bapa tunggal. Malahan keluarganya turut terkesan dengan perubahan karakternya yang positif itu.
“Saya gembira dengan kehadiran anak ini kerana ia hasil perkongsian sah antara saya dan suami. Saya akui tempoh kehamilan ini amat sukar bagi remaja seperti saya, apatah lagi tanpa suami di sisi.

Anak yang tak mengenang budi ibu bapa
Sudah pandai pegang penyapu
“Apabila disahkan hamil, saya mula dekat kepada Allah dan banyak panduan yang diberi oleh suami dan keluarga mertua di Indonesia. Saya tidak lagi liar dan malas. Dulu, ayah layan saya seperti puteri sampaikan saya sendiri tak pernah pegang penyapu di rumah ini. Semuanya ayah yang buat. Tetapi selepas berkahwin, tanggungjawab sebagai isteri banyak mendidik saya untuk memikirkan hal rumah tangga. Daripada seorang yang tak ambil peduli hal rumah dan dapur, sekarang saya rimas kalau rumah bersepah. Saya sayangkan anak ini dan jika berpeluang saya mahu membesarkannya bersama suami.”

Anak yang tak mengenang budi ibu bapa
Tinjauan Biro Aduan Komuniti Pergerakan Pemuda UMNO yang diketuai oleh Datuk Muhd. Khairun Aseh, mendapati kebanyakan gadis yang dibawa lari ke Lombok masih di bawah umur. Ada remaja berumur 12 tahun dibawa ke sana dan berkahwin dengan lelaki seberang. Di pusat tahanan imigresen di Mataram memang ramai gadis bawah umur yang ditahan. Kebanyakannya menjadi pendatang haram kerana hendak berkahwin dengan pemuda di sana.
Tetapi kenapa hanya Salsabila seorang sahaja yang dibawa balik?
Pakar Reproduktif Manusia, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Dr. Hamizah Abu Hassan berkata, kehamilan remaja tidak boleh mengubah 100 peratus personaliti si ibu. Jelasnya, remaja pada umur 15 tahun tidak mampu secara fizikal dan mental untuk menguruskan anak mereka sendiri.

Anak yang tak mengenang budi ibu bapa
“Jika mereka bertegas bahawa mereka yakin mampu menjaga anak dan menjadi isteri serta ibu yang baik, itu hanya perasaan mereka. Hakikatnya, mereka tidak berupaya. Mereka tidak faham apa makna tanggungjawab membesarkan anak walaupun perasaan ‘aku boleh buat’ itu ada. Sebab itu mereka memberontak apabila ada yang memperkecilkan kebolehan mereka menguruskan anak pada usia sementah itu.”
Tambah Hamizah, pada usia belasan tahun, boleh dikatakan semua remaja hanya mengikut perasaan dan memikirkan keseronokan dan kepuasan sendiri tanpa memikirkan perasaan dan masalah orang lain. Dari satu sudut, mereka belum boleh berfikir secara matang dan rasional, jadi kita tidak boleh menyalahkan mereka sepenuhnya.
|