Anum peserta ketiga tersingkir
Agak mengejutkan apabila pelajar yang menunjukkan prestasi agak baik, Dayang Nor Anum Arjuna Aharun atau Anum, 19, tersingkir dari Akademi Fantasia 8.
Anum menunjukkan persembahan yang baik pada minggu ketiga menerusi lagu 'Kau Atau Aku'.
Boleh dikatakan sepanjang tiga minggu ini, Anum mendapat kritikan positif oleh para pengkritik terutama pengkritik tetap, Adlin Aman Ramlie dan Aznil Haji Nawawi.
Namun undian SMS tidak menyebelahi Anum apabila Anum mendapat undian terendah iaitu 8.73 peratus.
"Memang sedih apabila tersingkir namun saya bersyukur kerana diberi peluang untuk menyertai AF8. Saya agak kecewa dengan keputusan pengundi kerana persembahan saya tidaklah begitu menghampakan tetapi saya perlu mengambilnya dari sudut positif. Mungkin memang sudah tertulis perjuangan saya di dalam AF8 sampai di sini sahaja tetapi saya akan terus berjuang dalam bidang seni selepas ini."
Peratus undian SMS yang diterima pelajar lain ialah Siti Adira Suhaimi atau Adira yang menduduki tangga pertama dengan markah 12.68 peratus, Maulana Mohamed atau Maulana (11.36), Ahmad Shahir Zawawi atau Shahir (10.05), Muhammad Alif Kadim atau Alif (10.05), Nadiawati Ainul Basir atau Ain (9.87), Nadia Emilia Roselan atau Nad (9.83), Emirza Awan Zulazrin Chew atau Iwan (9.37), Zafarina Jamhari atau Farina (9.12) dan Muhd Shahril Firdaus El atauDaus (8.93).
Norman Pengetua AF8 ketika ditemui turut melahirkan kekecewaannya terhadap keputusan undian penonton yang meletakkan Anum di tangga yang tercorot antara sembilan pelajar yang lain. Persembahan Anum selama beberapa minggu di dalam AF8 bagi Norman tidak mengecewakan tetapi seperti pelajar lain, banyak lagi yang dia boleh pelajari. Bagi Norman, ada pelajar yang tidak layak untuk meneruskan pembelajaran di dalam akademi itu kerana tiada disiplin dan semangat untuk memperbaiki diri kurang berbanding pelajar lain.

Selamat tinggal, Anum. Jumpa lagi di lain hari.
|