| ArtisMelayu.net Home | Link laman Artis | Forum Artis | Webmaster |
|
![]() |
Tuah Liyana JasmayRIANG dan gila-gila. Itulah kesimpulan yang dapat digambarkan apabila pertama kali menemubual gadis yang sedang meningkat di persada seni tempatan. Dengan sosok tubuh yang kecil, Liyana begitu lincah dan tidak hairanlah ramai yang mula jatuh hati dengan perwatakan anak kelahiran Kuantan, Pahang yang dibesarkan di Kuala Lumpur ini. Apabila menjadi orang terkenal, segala-galanya diperhatikan oleh ramai orang. Di sebalik perjalanan karier seninya yang begitu rancak, masih ramai lagi yang kurang senang dengan dirinya. Malah banyak gosip yang kurang enak singgah kepada dirinya sedangkan ada ketikanya dia sendiri tidak mengetahui langsung apa sebenarnya yang berlaku. Biar apa pun tanggapan masyarakat terhadap gadis kecil ini, dia telah membuktikan yang dirinya di landasan yang betul apabila berjaya merangkul anugerah Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-22 di Kota Kinabalu, Sabah minggu lalu. Ramai memuji dan ada juga kurang berpuas hati dengan kemenangan Liyana melalui filem Papadom yang masih lagi belum ditayangkan itu. Inilah risikonya apabila memenangi anugerah melalui filem yang masih belum ditayangkan. Ini bermakna hanya juri sahaja yang melihat kehebatan lakonan Liyana dan bukan peminatnya. Walaupun masih muda, Liyana membuktikan yang pengalaman berlakon sejak usia sembilan tahun lagi. Dia terus melangkah mengutip pengalaman untuk menjadi yang terbaik. "Saya sangat bersyukur kepada Allah kerana akhirnya usaha saya selama ini membuahkan hasil dan dihargai. Saya amat berbesar hati menerima pengiktirafan ini dan menandakan usaha saya selama ini diberkati. Paling saya banggakan kepada ibu bapa saya yang tak pernah jemu-jemu menyokong kerjaya seni saya dan kepada abang Afdlin Shauki yang banyak mengajar selok belok lakonan hingga saya berjaya berada pada tahap ini," kata Liyana yang pernah membintangi filem Maut. Biarpun ramai yang kurang yakin dengan dirinya, Liyana tidak kisah dan percaya kepada panel juri yang membuat pengadilan sehingga berjaya menewaskan pelakon lain iaitu Nabila Huda, Nadia Mustafa, Sharifah Amani dan Heliza Helmi. Kata Liyana, semua finalis yang bertanding juga mempunyai kekuatan masing-masing dan tidak mustahil pada masa akan datang mereka pula yang dinobatkan sebagai pelakon terbaik. "Bagi saya ini adalah rezeki saya dan saya tidak mahu ada orang yang membuat spekulasi yang bukan-bukan mengenai diri saya. Siapa orang lain yang nak bercakap pasal kemenangan saya? Saya percaya kepada barisan juri yang membuat keputusan. Kalau peminat tidak dapat menerima kemenangan saya, Saya tak peduli semua itu," luah Liyana jujur. Cuba menyanyi Setelah berhempas pulas mengejar cita-cita sebagai pelakon, kini langkah Liyana tidak terhenti setakat itu sahaja. Langkahnya kini semakin laju apabila berjinak-jinak dalam bidang nyanyian pula. Inilah yang dinamakan tuah. Liyana membuktikan yang cita-cita dan impiannya selama ini bukan sekadar omongan kosong sahaja dan perlu dibuktikan dengan usaha dan kerja keras yang berterusan. Kini dia berbangga apabila single terbaru, Aku Tak Percaya Cinta sedang hangat dimainkan di radio. Namun di sebalik kegembiraan menjadi penyanyi, masih ada lagi pihak yang kurang senang dan muncullah cakap-cakap nakal mengutuk suaranya yang dikatakan langsung tidak sesuai untuk menyanyi. Malah tidak kurang juga peminat yang merasakan gadis berusia 21 tahun ini syok sendiri dan bermacam-macam tuduhan yang boleh mencalarkan hati kecilnya. "Buat apa saya nak dengar kata orang. Saya tahu apa yang saya mahu di dalam hidup saya dan orang lain tak perlu bimbang dengan perkara tersebut. Saya tak pernah membaca segala komen dan kritikan yang dilemparkan oleh banyak pihak yang tak puas hati dengan saya. Buat apa saya baca kalau ia menyakitkan hati saya. Kebanyakan bloggers dan sesetengah pihak hanya tahu menghentam tanpa memberikan komen untuk saya memperbaiki diri. Apa perlunya saya tunduk kepada desakan mereka," katanya lagi. petikan dari Mingguan Malaysia |
| ArtisMelayu.net Home | Link laman Artis | Forum Artis | Webmaster |