Jurey saman Melodi, Nas Ahmad $10 juta

Jurey Latiff Rosli, pengarah dan penerbit
Setelah notis meminta produksi Melodi dan wartawannya Nas Ahmad untuk meminta maaf menerusi akhbar dan televisyen yang dikeluarkan pada Januari tahun lalu tidak diendahkan, akhirnya penerbit dan pengarah Jurey Latiff Rosli mengambil keputusan untu menyaman kedua-dua pihak itu. Menurut Jurey ketika dihubungi, pengurusan kes saman fitnah dan malu sebanyak RM10 juta itu akan dibuat pada 18 Mac ini, pukul 9 pagi di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
“Selepas tiga bulan daripada tarikh saman itu difailkan, saya dapati pihak Melodi dan Nas Ahmad tidak melakukan apa-apa tindakan."
Pada 21 September 2008, Nas Ahmad didakwa telah memfitnah Jurey dalam segmen Terjah di Melodi.
“Nas telah menuduh saya yang bukan-bukan dengan membacakan sebuah emel layang tanpa bertanya kepada saya terlebih dahulu. Selepas itu, dalam sebuah majlis berbuka puasa anjuran Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia, dia telah menerjah saya. Disebabkan itu, saya mahu dia memohon maaf di dalam akhbar dan televisyen. Tapi mereka tidak endah langsung. Jadi, sebab itu saya mahu saman fitnah dan saman malu,” jelasnya lagi.
Butir terperinci saman
Menurut Jurey, perkataan fitnah itu bermaksud beliau adalah seorang yang tidak bermoral, suami dan bapa yang tidak jujur dan tidak bermoral dan suami dan bapa yang tidak bertanggungjawab, mengabaikan isteri dan anak kerana mempunyai hubungan sulit dengan seorang gadis sebaya dengan anak sulungnya. Jurey Latiff berkata perkataan fitnah itu adalah palsu dan disiarkan dengan niat jahat sehingga merosakkan reputasinya sebagai penerbit drama dan didedahkan kepada kebencian dan kehinaan. Jurey memohon ganti rugi RM10 juta, ganti rugi teruk, teladan, kos dan lain-lain relif oleh mahkamah.
TV3 dalam pernyataan pembelaan yang difailkan pada 10 Februari 2009 berkata perkataan itu disiarkan dalam keadaan perlindungan bersyarat. TV3 berkata sebagai penyiar awam, ia mempunyai kewajipan sosial dan moral untuk menerbitkan apa sahaja pengetahuan mengenai penerbit yang tidak jujur dan tidak bermoral bagi membolehkan orang awam mendapat pengetahuan.
Kes saman fitnah ditetapkan 25 Jun
Berita dalam akhbar melaporkan pengurusan kes saman fitnah Jurey ditetapkan oleh Mahkamah Tinggi pada 25 Jun ini.
Siapa Jurey?
Jurey Latiff Rosli ialah pengarah filem 'Libas' yang dibintangi oleh Rosyam Nor, Scha Al-Yahya dan Johan Raja Lawak. Mempunyai 20 tahun pengalaman dalam bidang penerbitan Filem dan TV. Pernah berkhidmat dengan ASTRO selama 5 tahun di syarikat Tayangan Unggul Sdn Bhd. Mempunyai syarikat penerbitan iaitu World Evolution Brain (M) Sdn Bhd dengan memegang jawatan sebagai Pengarah Urusan.
Presiden Persatuan penerbit Televisyen Malaysia. Menerbit dan mengarah lebih 60 buah telemovie dan drama untuk RTM, ASTRO dan TV3. Jurey ialah Pengarah Drama TV Terbaik Anugerah Seri Angkasa 2006
Beliau juga ialah Telemovie Terbaik Anugerah Seri Angkasa 2006
|