ArtisMelayu.net  |  Home

Fazura saman Mingguan Perdana,
dakwa hilang lebih RM1 juta

Fazura
Fazura dakwa hilang RM1 juta

Nor Fazura Sharifudin (Fazura, 26) menyaman syarikat Perdana Production House Sdn Bhd yang menerbitkan Mingguan Warta Perdana di Mahkamah Tinggi dengan dakwaan dia gagal mendapatkan kontrak bernilai lebih RM1 juta ekoran tersiarnya satu artikel dalam akhbar tabloid yang didakwa memburukkannya. Syarikat berkenaan dinamakan sebagai defendan pertama, manakala pemberita Haslinda Hashim, 31, sebagai defendan kedua. Kata Fazura, artikel bertajuk "Fazura Rela Dipenjara" yang tersiar pada 29 Mei 2005 di Mingguan Warta Perdana itu turut memetik Fazura sebagai berkata: "Saya tidak takut dengan hukuman sekiranya saya didapati bersalah melakukan perbuatan tersebut."

Ekoran dari artikel itu Fazura berkata dia kehilangan kontrak bernilai lebih RM100,000 yang telah ditandatangani dengan syarikat kosmetik, Olay. Dalam masa yang sama juga Fazura sedang berbincang dengan syarikat Maybelline, Loreal, Bonia, Clarins, Biotherm, Brands, Celcom dan Hotlink di mana perbincangan langsung tidak diteruskan lagi. Kesemuanya didakwa Fazura bernilai lebih sejuta.

Artikel yang dikeluarkan dalam tabloid itu didakwa Fazura sebagai berkaitan dengan kesnya yang dituduh menyerang surirumah Gerardine Mariana Wong di sebuah disko di Jalan Kia Peng di sini. Fazura juga memberitahu mahkamah bahawa isi kandungan akhbar berkenaan turut mendorong penerbit filem 'Cinta' menolaknya daripada berlakon dalam filem tersebut sedangkan pada awalnya mereka telah bersetuju.

Sehubungan itu, Fazura menuntut RM500,000 atau apa-apa jumlah yang mahkamah fikirkan sesuai dan faedah empat peratus setahun terhadap ganti rugi am dari tarikh pemfailan saman sehingga tarikh penghakiman.

Kata Fazura, dia tidak pernah mengeluarkan kenyataan seperti dalam tabloid tersebut. Sebaliknya Fazura kata dia hanya menyebut "Itu semua kuasa Allah dan saya hanya bertawakkal dan redha."

Nor Fazura
Kiri sekali ialah Mohd Hanafiah. Tengah ialah Ahmad Johari,
adik Nor Fazura. (Foto: KOSMO!)

Pengarang akhbar Mingguan Warta Perdana, Zuraidah Abdul Halim, 41, berkata dia memberikan arahan kepada wartawannya iaitu Haslinda pada 28 Mei 2005 untuk menemubual Fazura. Zuraidah mengaku dia menggunakan perkataan 'Rela' dalam tajuk 'Fazura rela dipenjara' untuk menarik perhatian pembaca. Katanya, ini dilakukan dengan harapan mereka tertarik dengan tajuk itu dan sedia membeli akhbar itu.

Mingguan Perdana
Haslinda, wartawan dan Zuraidah, pengarang akhbar Mingguan Perdana
(Foto: KOSMO!)

Mahkamah tolak saman Fazura

10/11/2009 3:41pm

UTUSAN MALAYSIA, KUALA LUMPUR 10 Nov - Pelakon dan pengacara televisyen, Fazura hari ini gagal mendapatkan ganti rugi daripada Mingguan Warta Perdana setelah Mahkamah Tinggi di sini memutuskan menolak dengan kos saman yang dikemukakannya.

Hakim Datuk Balia Yusof Wahi dalam keputusannya berpendapat bahawa perkataan yang disiarkan dalam akhbar tabloid itu tidak memfitnah Fazura.

Malahan hakim berpendapat pernyataan yang didakwa plaintif sebagai memfitnahnya, telah menggambarkan bahawa plaintif sebenarnya seorang yang tabah, yakin diri, cekal dan berani.

Plaintif atau nama sebenarnya Nur Fazura Sharifuddin, 26, mendakwa penyiaran artikel Fazura Rela Dipenjara pada 29 Mei 2005 juga menyebabkan kontraknya dengan syarikat produk kecantikan, Olay yang bernilai lebih RM100,000 ditamatkan secara lisan. - Utusan

Fazura
Saman Nor Fazura gagal.

 |  Home  |  Info Artis  |  Pautan Laman Artis  |  Galeri  |  Forum Artis  |